Florida (Amerika
Syarikat): Dua beradik perempuan yatim piatu yang terpisah di Korea berdekad
lalu bertemu semula selepas kebetulan bekerja di bahagian sama di sebuah
hospital di Florida.
Memetik laporan HarianMetro, Holly Hoyle
O’Brien dan adiknya Meagan Hughes terpisah ketika masih kecil selepas bapa
mereka maut dilanggar kereta api di Korea Selatan pada 1970-an.
Ibu tirinya membawa si adik yang masih kecil
menyebabkan Holly atau nama asalnya Pok-nam Shin diserahkan kepada rumah anak
yatim sehingga diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri warga
Amerika ketika berusia sembilan tahun pada 1978.

Holly dibesarkan bersama sembilan beradik lain
termasuk tiga perempuan di Virginia. Ibu angkatnya berusaha membantunya mencari
adik kandungnya di Korea Selatan, tetapi tidak menemui sebarang rekod
kanak-kanak berkenaan.
Pada masa sama, adiknya Eun-Sook Shin juga
membesar di rumah anak yatim selepas kematian ibu tirinya.
Dia akhirnya diambil sebagai anak angkat, juga
oleh sebuah keluarga Amerika dan membesar di New York dan diberi nama
baru.
Awal tahun ini, Holly ditugaskan di Bayfront
Health Port Charlotte di unit pembedahan dan secara kebetulan Meagan juga
diterima bekerja di situ sebagai pembantu fisioterapi.
Selepas berkenalan, kedua-duanya menjadi
sahabat baik sebelum mula membandingkan kisah lampau masing-masing yang
menimbulkan syak mengenai hubungan sebenar mereka.
Akhirnya mereka membuat ujian DNA pada musim
panas lalu yang mengesahkan kedua-duanya sebenarnya adik-beradik.