IMEJ seksi tidak pernah lekang dikaitkan dengan
diri pelakon ini. Malah, sejak awal pembabitan Zila Bakarin di dalam bidang seni
lagi, sukar untuk dia menangkis label 'daring' tersebut kerana sering tampil
dengan gaya seperti itu.
Namun, berilah apa saja gelaran kepada pelakon ini
kerana bagi tuan empunya diri, dia tidak pernah ambil pusing dengan semua itu.
Bagi wanita berusia 34 tahun ini, selama ini dia hanya menjadi dirinya sendiri
dan tidak pernah hipokrit.
Malah, status sebagai isteri dan ibu juga tidak
pernah dianggap sebagai 'penghalang' untuk dirinya terus tampil dengan imej
sedemikian asalkan dia sendiri selesa.
"Dari dulu sampai sekarang, cara pemakaian saya
tetap sama. Orang nak cakap seksi atau tidak, terpulanglah. Saya tidak pernah
hairan apa yang orang nak cakap.
"Bagi saya, kalau asyik mendengar cakap orang,
saya boleh jadi gila. Selama ini pun sudah terlalu banyak orang bercakap tentang
saya. Saya redha saja dengan semua ini. Apa yang penting, saya tidak pernah
hipokrit," ujar ibu kepada seorang cahaya mata, Kaseh, yang baru berusia tujuh
bulan.
Kata isteri kepada Azri Izhar ini, selama ini,
suaminya tidak pernah memaksa dirinya 'berubah' dan sentiasa menerima seadanya.
Akui Zila, 'kesedaran' selalunya timbul daripadanya sendiri.
"Sebelum ini pun, saya secara terang-terangan
mengaku pernah 'buat' dagu. Orang mengecam saya macam-macam ketika itu, tetapi
saya anggap itu adalah kesilapan saya sendiri dan tidak perlulah orang
persoalkan.
"Tetapi saya akui, kini saya tidak terlalu
mengejar ke arah kecantikan. Adakalanya bila saya lihat wajah saya semula, saya
terasa ingin 'baiki' semula dagu saya kerana rasanya, muka saya yang dulu lebih
baik berbanding sekarang.
"Tapi kos untuk mengubahnya memang tinggi.
Insya-allah, jika ada rezeki lebih, saya akan lakukannya," kata Zila.

pic lama dia
Bahagia bergelar ibu
Dalam nada ceria, Zila turut menceritakan tentang
kehidupannya setelah bergelar seorang ibu kini. Tutur pelakon ini, Kaseh banyak
mengajarnya erti kematangan dalam mengharungi kehidupan harian.
"Ini adalah satu pembaharuan dalam diri saya.
Memang tersangat rugi buat pasangan suami isteri yang menangguhkan hasrat mereka
untuk menimang cahaya mata kerana bagi saya sendiri, hubungan suami dan isteri
sebenarnya akan menjadi lebih rapat setelah mempunyai anak.
"Saya sendiri menjadi lebih matang dan tidak
terlalu memikirkan diri sendiri saja. Kalau saya tahu indahnya hidup menjadi
ibu, pasti saya akan berkahwin cepat.
"Sekarang ini pun, kalau pergi ke mana-mana
termasuklah 'shooting', pasti tak sabar nak cepat-cepat balik," kata Zila yang
menambah, buat masa ini Kaseh akan dijaga oleh adiknya apabila dia perlu ke
lokasi penggambaran.
Dalam pada itu, pelakon ini juga berkata, dia
sedang di dalam proses untuk menguruskan badan setelah selamat melahirkan Kaseh
pada 17 Mac lepas.
Akui Zila, dia agak tertekan memikirkan kenaikan
berat badannya selepas itu dan kini sedang hebat mengamalkan diet.
"Saya tidak kisah sangat orang kata saya sudah
gemuk, tetapi apa yang merunsingkan saya ialah bila baju dan seluar sudah tidak
muat untuk saya pakai. Saya akan jadi 'moody' waktu itu.
"Sekarang ini, memang matlamat saya adalah untuk
kuruskan badan. Saya tidak menjamah nasi dan hanya makan sup saja jika lapar di
waktu malam.
"Sekarang, saya lihat sudah ada penurunan daripada
63kg kepada 58 kg. Saya sasarkan lagi 5kg untuk turun.
"Lagipun, saya bukannya nak nampak kurus sangat.
Dapat kembali seperti bentuk badan sebelum mengandung sudah cukup baik," kata
Zila yang baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Kelab Jeng
Jeng.


HA KAN SY dah cakap tadi. Amacam sakit x jantung
tu

